Pantai Desaru merupakan pantai yang paling popular di Johor. Pantainya yang memutih sepanjang 25km dan dikelilingi pohon yang menghijau sudah cukup menjadikan pantai ini menjadi tarikan pelancong.
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini termasuklah berkelah, memancing, snoerkling, berkayak, jungle tracking, menunggang kuda dan go-carting. Di samping itu juga, Pantai Desaru terkenal di kalangan pemain golf. Ini kerana, terdapat padang golf 18 lubang yang diilhamkan oleh Robert Trent Jones Jr.
Kemudahan-kemudahan lain seperti penginapan, restoran, kedai cenderamata dan padang permainan turut disediakan demi memastikan pengunjung menikmati percutian yang tidak mungkin dapat dilupakan.
Panduan: Pantai Desaru terletak di Tanjung Penawar, Kota Tinggi. Pengunjung boleh menaiki pengangkutan bas di mana jarak dan masa lebih kurang seperti berikut:
• Dari Johor Bahru : 102 km, 1 jam 30 minit
• Dari Kuala Lumpur : 436 km, 4 jam 15 minit
• Dari Singapura : 125 km, 2 jam 15 minit
Bagi pengunjung Singapura, terdapat pilihan untuk menggunakan pengangkutan feri di Changi point, Singapura yang akan mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Feri ini mampu menempatkan kira-kira 400 penumpang dan 70 buah kereta.
Pantai Tanjung Balau bukan sahaja menawarkan keindahan panorama yang indah malahan perkampungan nelayan dan Muzium Nelayan Tanjung Balau yang sedia dikunjungi.
Di perkampungan nelayan, pengunjung berpeluang untuk beramah mesra dengan penduduk dan merasai kehidupan sebenar mereka dengan tinggal bersama-sama dengan mana-mana keluarga. Di samping, berpeluang merasai masakan tradisi yang pelbagai dan sedap.
Muzium Nelayan Tanjung Balau telah dibina dalam tahun 1985. Muzium ini menyimpan pelbagai khazanah berkaitan cara hidup, teknik dan perkakasan nelayan sejak zaman-berzaman.
Dari Bandar Kota Tinggi, anda bergerak terus sejauh 47 km. Apabila tiba di satu simpang di mana terdapat stesyen minyak Petronas di sebelah kiri, anda masuk ke selekoh sebelah kiri. Lebih kurang 5km dari simpang tersebut, anda akan menemui bulatan (round-about) yang pertama. Masuk simpang ke kanan (pukul 3) dan anda akan tiba di Pantai Tanjung Balau kira-kira 1km dari simpang tersebut.